Monday, July 13, 2015

SALAM IDIL FITRI 2015

SALAM IDIL FITRI 2015

Musim raya lagi. Orang pekan sibuk nak balik jenguk kampung yang lama depa tinggalkan. Oleh kerana aku bukan sebahagian depa pada kali ni maka aku balik jenguk laman blog aku ni yang dah lama aku tinggalkan.
Dengar habark Mie Japark dengan Tok Mat Lebai Sudin nak buat reunion pada raya ketiga di hotel Alora. Aku pun tak tau tang mana duduk hotel tu tapi Ramlah Said kata dekat kedai dia. Kalau lagu tu area area stesen bas asyahab la kot.
Chup Abaih ada mesej aku kecek balik. Dia senarai nama kawan kawan yang dah konpom nak join. Bagiitu juga Abu Samah. Kata dia waalau pun kurang sihat dia tetap akan balik . Nak jumpa kawan kawan lama yang sesetengahnyaa tak pernah jumpa sejak tinggalkan bangku sekolah pada tahun 1977. 
Lebih ironik reunion kali ini bersifat khususiah. Iaitu khas buat batch Tingkatan 6 1976/77 SMDSO.Ertinya semua kekawan saling kenal mengenali. Betoi kata Chup Abaih " roghi mat kalau hang tak balik".
Apa lagi tidak jauh dari situ dekat Pumpong Golf  Resort diadakan reunion perdana SMDSO. Hat ni terbukak kat semua batch. Aku tengok program dia pon canggih. Ramai tokoh tokoh VIP ghupanya bekas peljar SMDSO. Buleh la harung dua sekali.
Apapun aku harap semuanya berjalan lancar dan ukhwah Islamiah dapat dimantapkan sempena hari baik bulan pun baik ini. Jangan reunion tinggal reunion. Menjadi budaya jumpa makan makan sembang sembang pastu lupa....

Tuesday, August 27, 2013

SALAM MERDEKA 2013 - PATRIOTISME DAN BENDERA

     Ogos adalah bulan merdeka bagi negara Malaysia tercinta. Kemuncaknya ialah pada 31 hari bulan. Tidak lama lagi. Kira kira dalam dua tiga hari sahaja. 
     Lama dahulu masa saya masih kanak kanak sambutan kemerdekaan di rai ala kadar sahaja. Tiada pesta pesta rasmi yang ghairah dan meriah. Bahkan Dataran Merdeka pun belum ujud lagi dan semua acara sambutan yang amat sederhana di lakukan di Stadium Merdeka dan di hadapan Bangunan Sultan Abd Samad. Ia nya berlansung berbelas bahkan berpuluh tahun lama nya dalam tempuh 56 tahun itu.
     Tidak lama selepas itu sekumpulan pemandu lori memulakan agenda mengibar bendera Malaysia di kenderaan mereka menjelang hari kemerdekaan. Fenomena ini mencetuskan inisiatif kepada pemerintah lalu menjadikannya satu agenda rasmi. Pengibaran bendera digalakan keatas kenderaan peribadi dan premis premis semua pihak samada awam dan swasta. Namun ia tidak bertahan lama. Situasi politik semasa kemudian memadamkan kemeriahan itu. 
     Tahun ini 2013 kesuraman sangat amat terasa. Sampai memaksa pemerintah mahu menggunakan undang undang untuk memaksa semua rakyat jelata mengibarkan bendera dengan apa cara sekali pun. Persoalannya apakah wajar sehingga perlu menggubal undang undang untuk acara mengibar bendera? 
Apakah mengibar bendera setahun sekali sudah cukup membuktikan patriotisme dan jati diri Malaysia? 
Apakah mereka yang tidak mengibar bendera akaan didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh di hukum penjara?
     Patriotisme berkait rapat dengan semangat dan jati diri yang membentuk peribadi seseorang. Seseorang yang tegar patriotik ia akan mengamal dan sentiasa menghargai bangsa dan negara nya dalam semua sektor dan dalam apa jugak keadaan berpandukan perlembagaan yang telah ditanam dan sentiasa di pelihara dengan subur dalam jiwa dan hati nurani mereka. 
     Umpamanya..jika benar benar patriotik kita akan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi harian. Kita akan menggunakan elemen elemen kebangsaan dalam apa jugak senario sosio budaya dalam kehidupan harian. Contohnya senibina bangunan, penjenamaan tempat dan bangunan atau jabatan kerajaan dan swasta. Kurikulum pendidikan dan bahkan penciptaan teknologi baru pun semuanya wajib berasaskan elemen elemen tempatan atau kebangsaan.Jadikan satu pemikiran dan rutin hidup sehingga dunia mengenal kita kerana jati diri kita. 
     Tidak ada gunanya kita mengibar bendera sepanjang tahun tetapi pemikiran, gaya hidup dan jati diri kita tidak patriotik. Pemimpin kita berucap tidak menggunakan bahasa kebangsaaan. Mereka menamakan bangunan, jalan dan jabatan jabatan kerajaan tidak dengan nama berciri kebangsaan. Mereka mengamalkan sistem perniagaan tidak mesra kebangsaan. Mereka merayakan kebudayaan pun bercampur aduk antara ciri ciri kebangsaan dengan adaptasi budaya orang lain. Mereka berpakaian. Mereka membina bangunan dan banyak lagi kalau nak sebut. Semuanya tersasar jauh dari elemen elemen kebangsaan yang merupaka resipi patriotisme sesebuah negara atau satu bangsa.
    Tut tut kita dengan mudah melaungkan dan mahu melebel mereka yang tidak mengibar bendera pada bulan Ogos setiap tahun  sebagai tidak patriotik dan mahu mengenakan tindakan undang undang keatas mereka ! 
Apakah ini wajar, bijak dan adil ? 

Monday, January 7, 2013

MEMBUKA JENDELA 2013

     Salam 2013. Musim hujan berlarutan seperti biasa oleh perubahan monsun dari Barat Daya kepada Timur Laut. Seperti biasa bah akan melanda di negeri negeri pantai timur. Negeri Negeri pantai Barat pulak mengalami hujan berpanjangan walaupun tidak sampai menyebabkan bah. Selalunya begitu lah peredaran musim.
        Tetapi di jendela 2013 ia agak memeranjatkan. Musim bah berulang ulang. Gelombang satu dan dua dan mungkin akan ada tiga atau empat. Ia juga mengambil masa lebih lama untuk surut seperti sediakala. Di sekitar Lembah Kelang pula berlaku runtuhan tanah dan limpahan selut mengambus dan melimpahi rumah rumah dan kenderaan. Juga ia bukan perkara baru berlaku. Apa yang baru ia semakin kerap dan melibatkan semakin banyak kawasan dan harta benda. 
      Fenomena ini memberi amaran yang jelas kepada kita supaya segera berhenti menjadi rakus dan angkuh.  Peraturan alam semula jadi di cipta Allah telah cukup sempurna dan kita tidak perlu mengubahsuai apa apa pun untuk memenuhi nafsu serakah kita. Di jadikanNYA gunung ganang, sungai sungai, paya dan lembah masing masing mempunyai peranan dan fungsi untuk alam dan semua kehidupan. Kita yang berasa sangat bijak kerana menguasai ilmu kejuruteraan sebenarnya lebih dungu dari seekor kaldai kerana tindakan kita yang kononnya bijak itu akan memusnahkan masa depan bumi ini.  Lambat laun. Perubahan sedang berlaku. 
     Pihak berkuasa yang sayangkan rakyatnya dan mengutamakan mereka wajib segera bertindak. Aktiviti menggondol kan bukit bukau atas apa sekalipun maksud pembangunan hendaklah diharamkan samasekali. Termasuk juga tebus guna atau penimbusan tanah tanah paya untuk apa jugak projek. Pengaliran sungai sungai harus di biar mengikut resamnya. Tidak perlu di tebuk dan di pintas mengikut kemahuan fikiran kita. Tidak juga perlu di bersehkan tumbuh tumbuhan atau tebing tebing sungai. Setiap tumbuhan dan keadaaan semula jadi sungai berperanan dalam menguruskan aliran air secara semula jadi. 
      Siapa kah kita untuk merasa lebih bijak mentadbir alam ini dengan mengubah apa yang telah di jadikan oleh Pemiliknya? Sayangi lah alam semula jadi. Sebagai rakyat yang tiada berupaya, apa yang boleh di lakukan ialah berhenti lah menyokong sesiapa saja yang menjadi pemerintah yang memandang rendah isu ini dan tidak mahu menghargai alam semulajadi.
       Kita telah kehilangan banyak khazanah alam dan proses kehilangan itu terus berlaku. Berapa lah harga kemajuan untuk dinilaikan berbanding anugerah alam ini ?

Sunday, December 30, 2012

MASA YANG BERLALU

     


     Masa yang berlari. Tidak pernah ada tolak ansur. Sangat konsisten dan tepat. Kita yang mengejar. Seringkali rebah dan tersungkur. Adakala lemah dan ada ketika kuat. Apapun situasi dihadapi, kisah terus dilakar. Episod demi episod.
     Sesungguhnya. Demi masa. Manusia sentiasa dalam kerugian. Kecuali mereka yang bertakwa dan beramal soleh. Ertinya, sehebat mana pon kita mampu dan berjaya mengejar masa tetapi tanpa takwa dan berbuat amalan amalan mulia, maka kita sebenarnya mengendong kerugian yang besar.
         Tinggal hanya beberapa puluh jam sahaja lagi bagi tahun 2012 sebelum ia melabuhkan tirai seterusnya di lipat dalam bungkusan sejarah. Sesudah itu ia hanya akan di sebut sebut dalam kenang kenangan. 
         Menghitung masa, kita sebenarnya gembira dalam leka. Menunggu detik jam dua belas tengah malam ketika beralehnya tahun baru, kita sanggup berkorban untuk banyak perkara sia sia. Kita lupa bahawa dengan pertambahan tahun bermakna semakin pendek hayat kita. Semakin jauh kita dengan rumah dan semakin dekat dengan kubur. 
        Pada 2012 seorang bekas guru saya semasa di SMJ arwah Amran Lee Gek Liang telah kembali kerahmatullah. Kemudian di ikuti oleh arwah Fauziah Saad , rakan sekolah SMDSO dan arwah Puzi Awang, rakan sekelas saya di SMDSO (mudah-mudahan Allah merahmati mereka dan kita semua dengan limpah kurnia serta kasih sayangNya).
         Rasanya itu antara bayangan bayangan yang mungkin relevan untuk di renung sejenak dari sebuah puisi yang di kirim oleh Abd Rahman Zainol, juga rakan saya kelas 6A1 SMDSO batch 1976-77 yang kini bertugas dengan LADA di Langkawi :


satu ketika pada usia muda
aku sering mendapat kabar
sahabat sahabat menjejak menara gading
bertanya hati ini
aku bila lagi?

Menyusul selepas itu
bertandang pula berita
rakan rakan beroleh kerja
bertanay hati ini
aku bila lagi?

kemudian dari itu
rakan rakan beroleh jodoh
dan kejinjang pelamin
bertanya hati ini
aku bila lagi?

mereka kemudiannya beroleh zuriat
penyambung kelansungan keturunan
hati terus bertanya
aku bila lagi?

tidak pun lama selepas itu 
dengan bangga rakan rakana memberitahu ku
mereka telah pun bergelar datuk
dikurniakan meanntu dan cucu
sekali lagi aku bertanya
aku bila lagi?

namun akhir akhir ini
semakin kerap ku terima kabar
ada rakan pergi menemui Ilahi
perlukah aku bertanya
aku bila lagi?

terasa sayu pertanyaan itu..

Nukilan Sdr Abd Rahman Zainol
Timbalan Pengurus Besar LADA

Thursday, November 22, 2012

LAGI TENTANG AES


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop hari ini berkata polis mengeluarkan sebanyak 27,414,823 saman kepada individu yang dirakam melanggar had laju sejak 1996.
Data berkenaan kemudiannya menjadi modal perbahasan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang berkata jumlah tersebut menunjukkan kegagalan penggunaan kamera untuk mengelak kemalangan.
Katanya, jumlah kemalangan terus meningkat walaupun polis mengeluarkan jumlah saman tersebut sejak 1996.
Atas alasan tersebut, beliau mempersoalkan mengapa pasukan polis perlu menggunakan kamera berkenaan.
Mahfuz merupakan pemimpin pembangkang yang mengetuai gerakan menentang saman ekor dan juga pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), termasuk penggunaan kamera di kawasan yang banyak berlaku kemalangan.
Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah) turut membangkitkan sama ada pengguna jalan raya akan dikenakan saman berganda daripada penguatkuasaan AES dan juga daripada kamera polis.

     Membaca isu diatas saya teringat penguatkuasaan beberapa peraturan sebelum ini yang dikatakan bertujuan mengelakkan kemalangan:-

1. Pemakaian tali pingggang keledar dan topi keledar.
2. Pemasangan lampu amaran had laju di atas kepala lori dan treler.
3. Pemasangan kotak hitam pada bas ekpress
4. Pemasangan lampu brek ketiga
5. Penyalaan lampu depan motosikal.
6. Kurikulum baru diperkenalkan dan bakal pemandu dilatih oleh Akademi Memandu khas dengan bayaran 10 kali ganda berbanding dulu.

     Semua ini dan terbaru AES telah dilaksanakan dan jutaan saman telah dikeluarkan terhadap pengguna jalanraya tetapi pesalah terus meningkat dan kemalangan maut semakin menjadi-jadi. Secara tidak cerdik berhujah, dimanakah kesan positif dari perlaksanaan peraturan diatas untuk mengelak atau mengurangkan kemalangan sepertimana sering dilaung-laungkan itu?

         Saya berfikir kenapa tidak :-

1. Mata pelajaran memandu diperkenalkan di peringkat sekolah dan menjadi mata pelajaran wajib lulus atau
2. Semua kenderaan diwajibkan secara teknikal supaya tidak boleh melepasi kelajuan 90KMJ bukan sekadar tulisan di dindingnya sahaja atau..
3. Membina bumper merintang jalanraya atau lebuhraya dengan lebih besar dan lebih banyak jumlahnya di tempat tempat terpilih dan berisiko atau dalam jarak setiap satu kilometer. Pada masa ini bumper telah direntang di kebanyakan taman taman perumahan dan jalan jalan kampung yang dianggap berisiko..atau
laksanakan semuanya sekali. Kalau lah kita hendak menghalang kenderaan bergerak pada kelajuan melebihi 90kmj atau 110 kmj yang dianggap berbahaya.
     Tindakaan menyaman pemecut tidak akan menghalang pengguna khususnya golongan tertentu untuk terus menerus melakukan kesalahan memecut kerana mereka mampu membayar dan sampai bila pun masalah ini tidak akan dapat ditangani dengan sempurna.
     Adapun penguatkuasaan AES untuk pesalah seperti melanggar lampu isyarat, memotong barisan, meletak kenderaan menghalang trafik, menggunakan lampu xenon (menyilaukan pengguna lain), tidak bertimbangrasa di atas jalan, mementing diri diatas jalan, tidak menggunakan signal dengan sempurna dan kelajuan berlebihan misalnya 160kmj keatas di lebuhraya atau 100 kmj ditempat tempat sesak misalnya, memang AMAT WAJAR  dilaksanakan.
     Sebaliknya adalah malang jika di tempat kelajuaan 60kmj pengguna disaman RM300 kerana memandu 72kmj..

Tuesday, October 30, 2012

AES DAN KEMALANGAN JALANRAYA

     Cuti Raya Haji 2012 menyebabkan cuti hujung minggu bertambah menjadi tiga hari. Seperti jangkaan, semua lebuhraya dan jalanraya utama keluar daripada KL melimpah dengan kenderaan pada hari Khamis dan berulang kembali pada petang Ahad untuk masuk balik ke KL apabila publik kembali dari bercuti dikampung masing masing.
     Pada petang Ahad itu juga, saya terpaksa menghantar anak balik ke asrama di Alor Gajah . Sebaik keluar dari exit Tol Nilai pada jam 5 petang, saya lihat limpahan kenderaan bertaliarus di kedua dua hala lebuhraya PLUS tapi masih bergerak perlahan. Kira kira 3 kilometer mendekati R&R Seremban, trafik mula jem. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam pergerakan keluar KL pada petang hari minggu. Manakala trafik dari arah Seremban memasuki KL nampaknya masih boleh bergerak walaupun lembab.
      Kira kira setengah jam berbaris, rupa rupanya terdapat tiga buah kereta tersadai ditengah lebuhraya apabila saling menyondol belakang. Sesudah melepasinya trafik lega sedikit tetapi dalam jarak beberapa meter selepas itu jem semula. Pulak dah. Apa hal sebenarnya. Mau tidak mau terpaksa ikut la barisan. Sampai dekat depan R&R Seremban baru persoalan terjawab. Ada satu kemalangan dasyat kat situ. Sebuah Iswara remuk hancai. Sebuah Lavina terkedang dalam longkang. Bomba, Polis semua ada. Bermula dari titik ini, baru lah trafik lancar selancarnya menuju Alor Gajah dan Selatan. Sebaliknya dari arah Selatan nak masuk KL trafik jem teruk mungkin sampai di Ayer Keroh kerana ketika exit di Tol Alor Gajah , tiada tanda tanda trafik clear dari arah sana. Rupa rupanya pengguna memperlahankan kereta masing masing kerana nak tengok kemalangan sahaja dan ia mampu menjana jem sejauh 50 KM atau mungkin lebih. Menurut kawan saya yang keluar dari Remabu jam 6 petang, ia tiba di Bangi pukul 12 tenghah malam. Perjalanan biasa hanya memakan masa 45 minit sahaja.
        Lalu apa kaitannya dengan AES?. Kabarnya AES dipasang untuk mengelak kemalangan. Punca kemalangan dikatakan oleh sebab kelajuan melebih 110KMJ ( sebab apabila kelajuan melebih had itu flash akan menyinar untuk saman perlu dibayar). Secara asasnya begitulah dan ramai pihak mempertikaikannya. 
     Apakah pihak pihak berkuasa telah membuat kajian terperinci? Apakah kaedah atau method kajiaan atau penyelidikan yang mereka buat?. Apakah mereka tidak pernah memandu di semua Lebuhraya dan Jalanraya di negara kita ini untuk mengalami situasi dan mencari risiko kemalangan dengan lebih realistik.Dengan lebih praktikal!. 
       Dari pengalaman saya di atas, kemalangan pertama melanggar belakang berlaku sebab kereta berbaris bukan sebab kelajuan. Kemalangan ngeri pulak berlaku di tempat yang tidak tersenari dalam lokasi AES pun. Dan oleh kerana pengguna memperlahankan kereta untuk melihat kemalanangan ia telah memyebabkan kesesakan sejauh lebih 50 KM dari arah bertentangan. Ada pendapat menyatakan kesesakan trafik pada musim raya Haji tahun ini disebabkan faktor yang disumbangkan oleh takutnya pengguna kepada AES.
       Saya teringat semasa di Jerman. Negara pencipta jentera jalanraya berprestasi tinggi seperti Mercedes, BMW, Audi, VW dan Porche. Lebuhraya negara mereka menghadkan kelajuan minima 110kmj. Ertinya bila berada di atas lebuhraya setiap kenderaan tidak boleh kurang dari 110kmj. Ketika saya dalam kelajuan 170kmj masih ada yang memintas melecup pergi..bayangkan. Sebab itu agaknya lebuhraya mereka tiada masalah jem. Dan yang paling penting negara Jerman tidak tersenarai sebagai negara pemegang rekod kadar kemalangan jalan raya tertinggi di dunia seperti kita. Jadi, kelajuan bukan lah faktor hakiki kemalangan seperti di gembar gemborkan.
       Selepas menghantar anak di asrama saya lihat lebuhraya masih jem. Saya dicide mengikut jalan lama. Tetapi belum pun sampai di simpang Tampin - Kota dari arah Alor Gajah, jalan sudah sesak. Saya ingat mungkin sebab gate keretaapi tetapi bila melepasinya dan tiba di simpang tiga itu trafik dari Tampin menghala Seremban beku berbaris. Saya membuat u turn dan balik ke Alor Gajah.
      Selepas Maghrib, saya mengambil jalan Brisu - Lubok China - Linggi - Port Dickson dan Sepang. Jalan kampung kelas tiga. Memang sunyi dan berliku. Berlopak dan beralun. Melalui perkampungan dan ladang sawit. Kalau nasib tidak baik lembu ada tidur di atas jalan. Perjalanan memang mencabar apatah lagi pada waktu malam. Beberapa kali roda berdentum kerana terjun lopak. Di satu sselekoh saya terbabas kerana jalan sedang di baiki dan tiada tanda arah yang boleh dibuat panduan. Agaknya sebab itu pengguna lebih rela menggunakan PLUS walaupun terpaksa sesak dalam jem berbatu batu untuk tempoh berjam jam pulak. Mujur juga kenderaan powil Isuzu Trooper saya direkabentuk untuk laluan lasak begitu. Dalam keadaan begini nampaknya berbaloi.
      Pada hemat saya, peruntukan RM717 juta untuk AES iitu lebih baik digunakan untuk nmenaiktaraf jalann kampung supaya menjadi lebih sempurna jika pihak berkuasa mahu mengelakkkan kesesakan dan memberi pilihan kepada rakyat. Jika tidak ianya seolah olah melukah di air keroh walaupun sebenarnya mungkin tiada niat begitu.
      Faktor utama kemalangan ialah skill pemandu dan sikap mereka di atas jalan yang mementing diri sendiri. Kelajuan hanya lah faktor sampingan.

Friday, October 19, 2012

KETAM CINA KETAM MELAYU

     Ini cerita lama. Tidak mengapa kerana cerita tidak basi macam makanan. Sebab itu tv tidak pernah jemu jemu ulang tayang filem filem P. Ramlee. Sebab cerita cerita sifatnya kalis kusam tanpa perlu di buboh asid borik atau formaldehaid untuk mengekalkan kesegaran yang palsu
     Semasa beraleh angin dari kerja makan gaji kepada kerja sendiri dulu, saya hadiri satu kursus motivasi. Ya lah. Dah berpuluh tahun jadi seperti ayam daging yang biasa di hulor makan dalam sangkar, tentu lah sukar nak  mencakar dan mematuk makanan jika tiba tiba di lepas begitu saja. Kena lah masuk inkubator sat supaya dapat sesuaikan diri. Supaya dapat mengenal cacing sebagai makanan dan berupaya pula mematuknya bila ditemui selain dedak yang di timbun dalam besen.
    Pada suatu hari, seorang fasilitator memulakan harinya dengan membuat satu teka teki. Dia meriwayatkann peri hal dua baldi ketam dan meminta kami mengenal pasti mana satu baldi ketam Cina dan mana satu baldi ketam Melayu. Ketam nya sama. Baldi pun sama. Jumlah pun sama. Yang beza ialah salah satu baldi mukanya di tutup jaring dan satu lagi baldi mukanya dibiar terbuka. 
         Memang klasik teka teki ini. Ia ada kaitan dengan pengalaman saya berikutnya. Satu hari yang lain, sahabat saya seorang Cina Muslim berhajat membeli sebuah van terpakai. Dia mengajak saya menemaninya. Kami pun merayau lah di beberapa pusat pameran kereta terpakai di Jalan Cheras, Kajang sehingga menemui sebuah van Toyota Liteace yang berjaya menarik minatnya. Dia menyuruh saya deal dengan jurujual, seorang Cina. Harga tawaran RM30K. Saya meminta RM27K. Puas memujuk dan dia matikan harga pada RM28K. Dia tutup tawaran dengan harga itu. Jika setuju terima , jika tidak manyak soli aa kawan..talak untung ma.
    Sehingga tahap itu rundingan baru lah sahabat Cina saya itu masuk campur. Dia terus cakap dalam  bahasa Cina. Terkejut Cina jurujual itu kerana sahabat saya itu memakai jubah putih, serban dan menyimpan janggut yang menghilangkana identiti Cinanya. Saya beritahu jurujual itu bahawa sahabat saya itu seorang Cina Muslim. Jurujual itu lantas memegang tangan sahabat saya dan menariknya masuk kedalam pejabat. Saya mengikut dari belakang. Dia mengambil kalkulator, memenyet menyet aksara dan mereka berbincang lagi. Tidak lama lepas itu mereka bersalaman dan sahabat Cina saya itu menyeluk saku mengeluarkan deposit RM500.00. Van itu di jual dengan harga RM26K sahaja! Sedangkan dengan saya tadi harga dimatikan pada aras RM28K.
     Orang Orang Cina sangat sayang bangsa mereka. Biarpun terpaksa terpisah oleh ideologi atau anutan agama berbeza namun darah kecinaan mereka tidak boleh dipisahkan. Mereka tetap membela dan membantu sesama mereka apabila keadaan memerlukan. Sebab itu baldi yang muka nya di tutup jaring itu di kenalpasti sebagai ketam cina dan ketam baldi terbuka itu ketam melayu. Kenapa?. Sebab ketam Cina kalau tidak di tutup dengan jaring, apabila ada seekor yang mahu berusaha meragaih baldi untuk keluar maka yang lain akan membantu dan apabila seekor telah berjaya maka ia akan menarik keluar semua kawan kawannya dari dalam baldi. Sedang kan ketam Melayu tidak perlu tutup kerana apabila seekor ingin meragaiah keluar maka yang lain akan beramai ramai menariknya turun semula sebab kalau dia berjaya naik pon dia akan laari menyelamatkan diri sendiri saja dan meninggalkan kawan kawannya. Oleh kerana itu tak ada sesiapa yang boleh berjaya naik dan tunggulah apabila masanya tiba, semua akan direbus dan digoreng masak kicap untuk hidangan lima rasa ka, tiga rasa ka ..ikut selera pelanggan lah..alahai..
     Kenapa orang Melayu tidak boleh mencontohi rakan rakan mereka orang orang Cina dalam hal hal yang baik begini? Tidak rugi atau hina mencontohi atau mengambil teladan dari mereka kerana kita kena akui bahawa mereka orang orang Cina memang antara bangsa yang hebat dan bertaraf dunia. Kalau tidak, masa kan Nabi menyuruh umat Islam menuntut ilmu hingga ke negeri China!